Thursday, November 22, 2007

PERANGAI BERGANTUNG KEPADA DIRI SENDIRI

Saya ingin membuka tirai perbincangan dengan meminjam penulisan Pendita Za'ba dalam bukunya Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri. Apa yang menarik adalah kerana beliau khuatir penulisannya tidak dapat diterima oleh orang Melayu, maka beliau tidak mengajukan kepada mana-mana penerbit semasa hayat beliau. Selepas lapan tahun beliau meninggal dunia, barulah bukunya itu diketahui oleh Dewan Bahasa & Pustaka dan diusahakan untuk penerbitannya.

"Perangai bergantung kepada diri sendiri itu boleh dikatakan akar tunjang atau umbi kepada kejayaan; kerana ialah asas tempat berdiri segala kemajuan naik untuk meningkat kepada kemenangan. Ia tetap akan menggalakkan siapa-siapa yang bersifat dengannya itu bekerja keras, dan tetap akan memimpin seseorang kepada berusaha dengan cergas dan bersungguh-sungguh. Perangai itu tidak akan memberi peluang kepada tabiat suka bertawakkal buta atau berserah kepada nasib semata-mata-iaitu suatu tabiat yang selalu menjadikan orang jauh ketinggalan di belakang, menjatuhkan mutu kemanusiaannya dan merendahkan hal kehidupannya. Dengan dorongan perasaan bergantung kepada diri sendiri seseorang akan merasa wajib membuat sendiri segala kerjanya dan menyempurnakan sendiri apa-apa kewajipannya dan tidak berharap kepada orang lain. Ia akan tetap bergantung kepada kebolehan dirinya sendiri sahaja dan hanya memohon taufiq dan pertolongan kepada Tuhan Yang Esa tiada lainnya" - Pendita Za'ba.

@

"Tiap-tiap orang diwajibkan beramal dan beribadat sendiri dengan usaha dan tenaganya - tidak pernah disuruh ia mengira dirinya itu mesti bergantung kepada doa orang sahaja atau kepada fidyah penebus yang dibuatkan orang sahaja bagi mendapatkan kejayaan dan keselamatannya di akhirat kelak! Tuhan tidak pernah menyuruh kita mesti berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan Qul Hua'llah dari orang apabila mati kelak..." - Pendita Za'ba.

Marilah kita berbincang bersama kata-kata Pendita Za'ba ini. Setelah 25 tahun buku ini di pasaran dan sudah 50 tahun kita merdeka, adakah orang Melayu masih berada di takok lama atau sudah berubah? Sekiranya sudah berubah, setakat mana? Bolehkah kita bangun dan berdiri dengan megah dan berkata kita sudah berjaya? Lihatlah di sekeliling kita.

2 comments:

Anonymous said...

Tahniah, Saudara AFO, dengan permulaan penulisan berkaitan dengan diri. Setelah disaring apa-apa kejayaan, kegagalan, kekecewaan; akhirnya yang akan nyata adalah pembawaan diri. Pembawaan diri pula bergantung kepada pendidikan, persekitaran keluarga dan kepercayaan,socsio-ekonomi dan pengalaman.

Unknown said...

tahniah! harapan blog ini dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ummah Melayu