Wednesday, December 19, 2007

SELAMAT HARI RAYA KORBAN

Mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil-Adha kepada semua rakyat Malaysia dan selamat mengerjakan ibadah korban.

Bagi jemaah haji kita di Tanah Suci, kami berdoa agar mereka selamat mengerjakan Rukun Kelima itu dan sihat sejahtera sepanjang masa.

Sanak-saudara dan sahabat-taulan, marilah bersama-sama mendoakan jemaah kita mendapat haji mahbrur.

Kepada ahli-ahli UMNO di seluruh negara, marilah terus kita menanam semangat untuk menegakkan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara. Agar tugas ikhlas dan murni kita ini sentiasa dirahmati Allah SWT.

Wednesday, December 5, 2007

ANAK KECIL MAIN API

Anak Kecil Main Api
Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Airmata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesama kita
Cita lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutup hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan gagah perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di Nusantara

***********************************
Lirik lagu ini dipetik daripada blog [ Nobisha ]. Anda juga boleh membaca ulasannya. Untuk pandangan kita bersama.

Tuesday, November 27, 2007

MELAYU PERLU KIASU UNTUK BERJAYA

Melayu perlu menjadi terbaik atau nombor satu.

Oleh itu, saya teringat kata-kata pakar ekonomi dan cendekiawan negara, Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid di Seremban, akhir bulan lalu.

Ungku Aziz berkata, orang Melayu perlu mempunyai sifat kiasu, iaitu sentiasa mahu menjadi nombor satu atau yang terbaik dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Menurutnya, walaupun sifat kiasu, perkataan Hokkien yang bermakna ‘terlalu takut untuk kalah’ mempunyai kebaikan dan keburukannya, dan orang Melayu perlu mengambil aspek keberaniannya dalam berusaha mencapai kecemerlangan dalam kehidupan mereka.

Sifat kiasu itu adalah antara tujuh kebaikan yang perlu dimiliki orang Melayu untuk berjaya yang digariskannya pada Forum Khas Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 yang bertemakan ‘Melayu Dalam Pertanian: Dulu, Kini dan Akan Datang’ di Seremban.

Konvensyen dua hari itu dianjurkan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Biro Pertanian UMNO Malaysia dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan. Ia bertujuan mencetus kesedaran di kalangan ahli UMNO khususnya, mengenai pentingnya industri pertanian terhadap ekonomi orang Melayu.

Ungku Aziz berkata, orang Melayu juga perlu mempunyai sikap berani serta berani menanggung risiko, selain sifat siddique yang bermakna ‘berkata benar’ serta beramanah, telus dan mempunyai sifat ingin tahu. Sebelum zaman penjajahan, orang Melayu terkenal sebagai pedagang di rantau ini berikutan keberanian mereka mengembara menjaja barangan dagangan di peringkat antarabangsa serta berani mengambil risiko. ‘‘Malangnya dengan kedatangan British, orang Melayu telah ditindas dan minda serta pemikiran mereka dipengaruhi secara halus menyebabkan sehingga kini masih tidak mampu bangkit untuk mencapai kecemerlangan zaman Kesultanan Melayu,’’ katanya.

Bagaimanapun beliau yakin orang Melayu, terutama yang terlibat dalam bidang usahawan akan menggubah sikap mereka secara automatik dengan lebih menitikberatkan ilmu dan sentiasa berusaha bagi memajukan diri kerana wujudnya sikap ‘ingin tahu’ untuk membangun dan memperluaskan bidang yang mereka ceburi.


Oleh itu, bagi saya, bangsa Melayu terutama pemimpin perlu mencari pendekatan untuk mengubah minda dan fikiran orang Melayu terhadap diri mereka sendiri. Mereka perlu rajin dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi yang terbaik di dunia. Bangsa Melayu perlu berani bertarung di persada antarabangsa dan jangan hanya menjadi jaguh kampung. Mereka perlu berani menghadapi risiko dan kegagalan. Kegagalan, jika diperhalusi dan diperbaiki sebenarnya adalah resipi untuk mencapai kejayaan.

Thursday, November 22, 2007

PERANGAI BERGANTUNG KEPADA DIRI SENDIRI

Saya ingin membuka tirai perbincangan dengan meminjam penulisan Pendita Za'ba dalam bukunya Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri. Apa yang menarik adalah kerana beliau khuatir penulisannya tidak dapat diterima oleh orang Melayu, maka beliau tidak mengajukan kepada mana-mana penerbit semasa hayat beliau. Selepas lapan tahun beliau meninggal dunia, barulah bukunya itu diketahui oleh Dewan Bahasa & Pustaka dan diusahakan untuk penerbitannya.

"Perangai bergantung kepada diri sendiri itu boleh dikatakan akar tunjang atau umbi kepada kejayaan; kerana ialah asas tempat berdiri segala kemajuan naik untuk meningkat kepada kemenangan. Ia tetap akan menggalakkan siapa-siapa yang bersifat dengannya itu bekerja keras, dan tetap akan memimpin seseorang kepada berusaha dengan cergas dan bersungguh-sungguh. Perangai itu tidak akan memberi peluang kepada tabiat suka bertawakkal buta atau berserah kepada nasib semata-mata-iaitu suatu tabiat yang selalu menjadikan orang jauh ketinggalan di belakang, menjatuhkan mutu kemanusiaannya dan merendahkan hal kehidupannya. Dengan dorongan perasaan bergantung kepada diri sendiri seseorang akan merasa wajib membuat sendiri segala kerjanya dan menyempurnakan sendiri apa-apa kewajipannya dan tidak berharap kepada orang lain. Ia akan tetap bergantung kepada kebolehan dirinya sendiri sahaja dan hanya memohon taufiq dan pertolongan kepada Tuhan Yang Esa tiada lainnya" - Pendita Za'ba.

@

"Tiap-tiap orang diwajibkan beramal dan beribadat sendiri dengan usaha dan tenaganya - tidak pernah disuruh ia mengira dirinya itu mesti bergantung kepada doa orang sahaja atau kepada fidyah penebus yang dibuatkan orang sahaja bagi mendapatkan kejayaan dan keselamatannya di akhirat kelak! Tuhan tidak pernah menyuruh kita mesti berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan Qul Hua'llah dari orang apabila mati kelak..." - Pendita Za'ba.

Marilah kita berbincang bersama kata-kata Pendita Za'ba ini. Setelah 25 tahun buku ini di pasaran dan sudah 50 tahun kita merdeka, adakah orang Melayu masih berada di takok lama atau sudah berubah? Sekiranya sudah berubah, setakat mana? Bolehkah kita bangun dan berdiri dengan megah dan berkata kita sudah berjaya? Lihatlah di sekeliling kita.

Wednesday, November 21, 2007

MEMPERKASAKAN BANGSA MELAYU

Hasrat untuk memulakan penulisan di alam siber ini timbul sejak beberapa bulan lalu. Namun, kekangan kerja dan keterbatasan waktu menyebabkan hasrat itu dipendam sehinggalah ke malam ini. Itupun setelah mendapat dorongan dan sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya rakan-rakan seperjuangan yang ingin menghayati pemikiran saya.

Sokongan mereka ini menguatkan semangat saya untuk terus menabur bakti dalam membantu ke arah pembangunan agama, bangsa dan negara tercinta. Banyak lagi yang perlu dilaksanakan untuk memajukan bangsa Melayu agar "berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah" dengan kaum lain di negara ini. Usaha memperkasakan martabat bangsa Melayu adalah agenda berterusan yang perlu dilaksanakan walaupun pada titisan keringat terakhir. Majulah bangsaku.