Setiap rakyat Malaysia mempunyai azam baru mereka terutama dalam memperbaiki diri mereka dan keluarga. Sudah tentu azam mereka adalah untuk mencapai kejayaan yang lebih baik daripada tahun lalu. Azam yang dsusun tahun ini adalah destinasi yang perlu dicapai jika mereka mahu memperbaiki diri dan menjadi insan cemerlang.
Namun, azam yang paling penting bagi rakyat Malaysia ialah untuk memastikan Malaysia terus kekal sebagai negara yang aman, harmoni dan makmur. Kunci keamanan dan keharmonian ini sudah tentu perpaduan yang sedia terjalin sejak merdeka lagi. Pengalaman pahit pada Mei 1969 perlu dijadikan ubat penawar agar kita terus hidup dalam suasana yang aman dan sentosa.
Sejak 50 tahun lalu, Malaysia bertuah kerana dipimpin oleh pemimpin negara yang berpandangan jauh terutama dalam memastikan Malaysia ini stabil dan rakyat bersatu padu. Sejak zaman Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad sehinggalah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pelbagai usaha dilaksanakan bagi memastikan negara ini terus aman dan berkembang maju.
Kejayaan ini bukanlah satu perkara yang terjadi sendiri tetapi hasil pemikiran bijak pemimpin pelbagai bangsa dan kaum untuk mewujudkan sebuah negara yang membangun dalam semua bidang terutamanya sektor ekonomi dan kewangan.
Pemimpin Malaysia telah menyusun satu rancangan jangka panjang yang dikenali sebagai Rancangan Malaysia yang bermatlamat untuk menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat dalam negeri ini. Rancangan Malaysia ini yang disertai oleh bajet yang mencukupi membolehkan program pembangunan dilaksanakan dengan teratur dan memberi faedah menyeluruh kepada rakyat setiap lapisan. Kini Rancangan Malaysia sudah mencapai sehingga ke [ sembilan ] yang menyaksikan pelbagai usaha membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.
Pemimpin negara juga bijak menggunakan sumber yang ada di negara ini bagi membangunkan Malaysia menjadi negara membangun yang amat disegani di rantau ini dan negara-negara dunia ketiga. Malah Malaysia sering dijadikan model oleh negara-negara Afrika yang menghantar pegawai kerajaan untuk mendapat latihan di negara ini. Penggunaan sumber asli negara dengan bijak adalah satu kejayaan besar Malaysia kerana banyak negara yang mempunyai sumber asli yang baik seperti minyak dan bahan galian gagal untuk membawa negara mereka menjadai sebuah negara membangun atau maju.
Formula perpaduan yang diamalkan sejak dahulu lagi perlu diteruskan dan dipelihara agar ia menjadi azimat dan panduan bagi generasi akan datang. Tindakan pihak tertentu ketika ini yang cuba memainkan isu perkauman dan agama perlu ditentang oleh setiap lapisan masyarakat agar perpaduan terus kekal dan menjadi darah daging setiap rakyat di negara ini. Ia perlu sebati dalam diri mereka. Tiada perpaduan, tiadalah kestabilan politik, sosial dan ekonomi. Tiada kestabilan politik, sosial dan ekonomi, maka tiadalah kemajuan yang akan tercapai.
Oleh itu, menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia menanamkan azam untuk terus mengekalkan perpaduan di negara ini. Azam tahun baru ini adalah satu hadiah kepada Malaysia yang semakin hampir menjadi negara maju.
Tuesday, January 1, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment