Tuesday, November 27, 2007

MELAYU PERLU KIASU UNTUK BERJAYA

Melayu perlu menjadi terbaik atau nombor satu.

Oleh itu, saya teringat kata-kata pakar ekonomi dan cendekiawan negara, Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid di Seremban, akhir bulan lalu.

Ungku Aziz berkata, orang Melayu perlu mempunyai sifat kiasu, iaitu sentiasa mahu menjadi nombor satu atau yang terbaik dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Menurutnya, walaupun sifat kiasu, perkataan Hokkien yang bermakna ‘terlalu takut untuk kalah’ mempunyai kebaikan dan keburukannya, dan orang Melayu perlu mengambil aspek keberaniannya dalam berusaha mencapai kecemerlangan dalam kehidupan mereka.

Sifat kiasu itu adalah antara tujuh kebaikan yang perlu dimiliki orang Melayu untuk berjaya yang digariskannya pada Forum Khas Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 yang bertemakan ‘Melayu Dalam Pertanian: Dulu, Kini dan Akan Datang’ di Seremban.

Konvensyen dua hari itu dianjurkan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Biro Pertanian UMNO Malaysia dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan. Ia bertujuan mencetus kesedaran di kalangan ahli UMNO khususnya, mengenai pentingnya industri pertanian terhadap ekonomi orang Melayu.

Ungku Aziz berkata, orang Melayu juga perlu mempunyai sikap berani serta berani menanggung risiko, selain sifat siddique yang bermakna ‘berkata benar’ serta beramanah, telus dan mempunyai sifat ingin tahu. Sebelum zaman penjajahan, orang Melayu terkenal sebagai pedagang di rantau ini berikutan keberanian mereka mengembara menjaja barangan dagangan di peringkat antarabangsa serta berani mengambil risiko. ‘‘Malangnya dengan kedatangan British, orang Melayu telah ditindas dan minda serta pemikiran mereka dipengaruhi secara halus menyebabkan sehingga kini masih tidak mampu bangkit untuk mencapai kecemerlangan zaman Kesultanan Melayu,’’ katanya.

Bagaimanapun beliau yakin orang Melayu, terutama yang terlibat dalam bidang usahawan akan menggubah sikap mereka secara automatik dengan lebih menitikberatkan ilmu dan sentiasa berusaha bagi memajukan diri kerana wujudnya sikap ‘ingin tahu’ untuk membangun dan memperluaskan bidang yang mereka ceburi.


Oleh itu, bagi saya, bangsa Melayu terutama pemimpin perlu mencari pendekatan untuk mengubah minda dan fikiran orang Melayu terhadap diri mereka sendiri. Mereka perlu rajin dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi yang terbaik di dunia. Bangsa Melayu perlu berani bertarung di persada antarabangsa dan jangan hanya menjadi jaguh kampung. Mereka perlu berani menghadapi risiko dan kegagalan. Kegagalan, jika diperhalusi dan diperbaiki sebenarnya adalah resipi untuk mencapai kejayaan.

3 comments:

Unknown said...

setuju dengan pendapat saudara melayu perlu berani bertindak,ambil risiko dan bersaing dalam era globilasasi.melayu ini kita tidak khuatiri kerana telah terbukti kejayaan usahawan melayu tulen yang telah berjaya menjadi cermin kepada melayu lain.melayu yang naik dari kepayahan kudrat, tekad dan poket sendiri.apa yang kita khuatiri golongan majoriti bukan usahawan minoriti ini.penyakit melayu sakit yang takut bertindak,takut kena pijak,takut menegur nanti hilang pengaruh, takut hilang kantung dan kena pancung.melayu kroni..projek gerenti.melayu harus tinggalkan istilah dan panggilan lapuk `takut 'ini untuk lebih berjaya dan disegani.melayu perlu kiasu.

Anonymous said...

Membicarakan masalah Melayu memerlukan pemikiran yang analitik antara realiti dan idealisme. Berfikir tentang idealisme sahaja tidak membantu 'mengubat' masalah Melayu ... lihat kepada realiti dan cuba mengenalpasti punca masalah ... sudah semestinya 'SIKAP' itu sendiri yang perlu diperbetulkan. Tahniah kerana membicarakan hal yang berkaitan dengan nasib Melayu itu sendiri...

Anonymous said...

saya sgt2 setuju dgn saudara. kebimbangan semakin tinggi apabila YAB Pak Lah telah melancarkan 3 Plan pembangunan WIlayah. WPI,NCER dan ECER. Banyak projek pemb. akan dilaksanakan namun adakah org melayu bersedia utk berubah sikap utk berubah? 446 thn dijajah, 50 thn disubsidikan, marah jika dibuang tongkat.. apa yg saya faham dan dgr betapa kurang program pembangunan INSAN bukan MODAL INSAN di dlm projek di atas. org kampung khususnya KEDAH dan KELANTAN dan TERANGGANU byk susah nak ubah . diaorg sgt2 complacent "nak buat guano sudah takdir kito org susah..." Petronas dan Sime Darby kena ambil perhatian ttg pembangunan INSAN ni..